IPOH 12 Julai – Kerajaan negeri Perak bersetuju menawarkan biasiswa kepada atlet muda negeri ini yang berkelayakan bagi mengikuti pengajian dalam bidang kemahiran digital.
Ini dilaksanakan menerusi kerjasama yang dimeterai antara Pejabat Pembangunan Belia dan Sukan negeri dengan pusat pengajian swasta, PIA College.
Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee berkata, buat permulaan sebanyak empat tempat ditawarkan melibatkan nilai keseluruhan biasiswa berjumlah kira-kira RM80,000.
Menurut beliau, ini termasuk dua tempat yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak PIA College manakala dua lagi oleh kerajaan negeri.
“Antara kursus ditawarkan ialah Diploma Rekabentuk Grafik, Diploma Rekabentuk Dalaman, Diploma Rekabentuk Media Digital, Sijil Kemahiran Tinggi Kejuruteraan Mekatronik, Kemahiran Rekabentuk Grafik dan Animasi.
“Tawaran biasiswa ini bertujuan untuk menggalakkan atlet-atlet untuk memajukan diri dalam pendidikan di samping karier dalam sukan ,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung kerjasama tersebut di pejabatnya di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PIA College, Lee Chuen Loong.
PIA College yang ditubuhkan pada tahun 1986 merupakan antara peneraju dalam bidang pengajian senireka grafik di negeri ini.
Mengulas lanjut kata Howard, tawaran biasisiwa seperti ini dapat memainkan peranan penting bagi mengimbangi kemajuan akademik dan sukan dalam kalangan atlet.
Jelas beliau, ia seterusnya membantu menyediakan mereka meneroka kemahiran baharu sekiranya tidak lagi aktif dalam bidang sukan.
Sementara itu, Chuen Loong berkata, kesemua kursus yang ditawarkan ini telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia.
Katanya, permohonan biasiswa dibuka sehingga 15 Ogos nanti dan hendaklah dikemukakan melalui Pejabat Pembangunan Belia dan Sukan negeri. – UTUSAN ONLINE











