JOHOR BAHRU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor berjaya menyelamatkan seekor burung helang berjambul dan lapan ekor landak yang merupakan spesies terancam di sebuah rumah dekat Kulai Rabu lalu.
Pengarahnya, Salman Saaban berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 1 petang oleh sepasukan anggota penguatkuasa selepas menerima aduan awam berhubung kes terbabit.
“Pemeriksaan kemudiannya mendapati bahawa satu ekor burung Lang Berjambul dan lapan ekor Landak Raya telah disimpan di bahagian belakang rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Salman berkata, siasatan mendapati bahawa semua hidupan liar ini yang disimpan ini adalah tanpa sebarang dokumen kelulusan daripada Jabatan Perhilitan.
Katanya, rakaman percakapan seorang lelaki berusia 55 tahun juga telah diambil yang mana berkemungkinan boleh disaman sekiranya dibuktikan bersalah.
“Burung Lang Berjambul yang dirampas ini adalah spesies dilindungi, kami percaya ia boleh dijual dengan harga RM500 hingga RM1,000 berdasarkan saiz dan jenis.
“Manakala bagi landak pula adalah spesies berlesen, ia boleh dibiak dan dijual mengikut peraturan ditetapkan, kebiasaannya ada had umur kita telah tetapkan,” katanya.
Jelasnya, seekor landak dewasa dengan induknya boleh djual dengan harga RM3,500 hingga RM5,000 mengikut pasaran semasa.
Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). – K! ONLINE











