KUALA LUMPUR 12 Julai – Sebanyak 166 warga asing termasuk 17 warga Afrika ditahan dalam dua Operasi Bersepadu Cegah Jenayah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sekitar ibu negara yang dilakukan pada 5 Julai dan semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi dijalankan 329 pegawai serta anggota polis dan enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia.
“Operasi dijalankan di sekitar Pasar Pudu, Jalan Chow Kit, Kawasan Kepong, Changkat Bukit Bintang, Jalan Silang, Kawasan Bt.5 ½, Jalan Klang Lama, LRT Bandar Tasik Selatan, Taman Miharja, Jalan Haji Eusoff, LRT PWTC, Taman Fadason Jinjang, Taman Wilayah Jinjang, Batu Muda Jinjang, Taman Dato Senu Sentral, Jalan Sepadu, Jalan Raden Bagus dan Jalan Alor Bukit Bintang.
“Sepanjang operasi, sebanyak 505 warga asing telah diperiksa dan 166 daripada mereka telah ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mazlan, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta lain yang berkaitan.
Jelasnya, pihaknya memandang serius kebanjiran warga asing terutamanya warga Afrika yang menyumbang kepada kejadian jenayah di dalam negara.
Tambahnya, operasi berterusan akan terus dilakukan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran. – UTUSAN ONLINE











