PADANG BESAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa anak-anak ibarat ‘kain putih’, justeru, ibu bapa dituntut memberikan didikan sempurna kepada anak-anak.
Sedari kecil, mereka harus diajari tentang akidah, ibadah dan akhlak. Pendidikan ilmu dan amal yang baik dapat membentuk nilai kemanusiaan dalam jiwa anak-anak.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena majlis perasmian penutupan ‘Kem Jati Diri Sekolah Menengah Negeri Perlis Tahun 2019’ yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Kem Bukit Keteri, Padang Besar, semalam.
Teks titah ucapan baginda dibacakan oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.
Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Negeri, Izmi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.
Program selama tiga hari yang julung-julung kalinya diadakan atas inisiatif dan anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rejimen 504 Askar Wataniah dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu melibatkan penyertaan seramai 83 orang pelajar tingkatan empat dari beberapa buah sekolah terpilih di seluruh negeri Perlis.
Tuanku Raja Muda turut menegaskan bahawa asas pendidikan di rumah mestilah menekankan 3 bentuk pendidikan iaitu akidah, ibadah dan akhlak, yakni:
1) Pendidikan akidah ialah teras bagi menanamkan keyakinan manusia terhadap keesaan Allah, menjadi insan soleh dan merealisasikan segala tujuan hidup.
2) Sementara pendidikan ibadah melibatkan ‘fardu ai’n’ dan ‘fardu kifayah’ bagi menjelmakan amalan agama dalam bentuk praktikal dan merupakan satu tuntutan penting bagi manusia merealisasikan peranan sebagai ‘khalifah’. serta,
3) Pendidikan akhlak sangat dititikberatkan dalam Islam. Menanam akhlak yang baik dalam hati dan jiwa anak dapat menangkis akhlak tercela dan buruk.











