KANGAR – Skuad hoki Kuala Lumpur menarik nafas lega apabila muncul pasukan terakhir mengisi slot ke separuh akhir Liga Hoki Piala Ketua Polis Negara-TNB 2019 selepas menewaskan Sabah 7-2 hari ini.
Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Garmail Singh berkata, biarpun berjaya melangkah ke separuh akhir, dia tetap menggesa barisan pemainnya supaya mempamer aksi lebih berhati-hati di peringkat itu kerana dijangka berlangsung lebih sengit dan mencabar.
“Kami akan bertemu dengan juara Kumpulan B, Selangor dalam peringkat separuh akhir dalam masa sama mereka berjaya mengekalkan kemenangan tanpa kalah dengan jumlah jaringan yang sangat besar untuk setiap perlawanan.
“Jadi pasukan kami perlu lebih berhati-hati dan tidak memandang rendah cabaran Selangor meskipun tahun ini mereka sangat menyerlah.
“Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana kami berjaya ke pusingan seterusnya selepas berhempas pulas dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, tujuh gol Kuala Lumpur dijaringkan oleh Mohd. Raid Mohd Nasir (minit kedua, ke-11, ke-16), Musakkir Abdullah (ke-11 dan ke-49) dan Zulhanafi Mohd. Aidin (ke-42 dan ke-57).
Sementara dua gol pasukan Sabah dijaringkan oleh Muhd. Azwan Ramlan pada minit ke-20 dan ke-45. Dalam pada itu, Selangor yang juga pendatang baru liga dilihat bertuah kerana berjaya mengekalkan kemenangan dalam setiap perlawanan.
Kapten Selangor, Mohd. Faizal Reza Mohd. Nor berharap rakan sepasukannya dapat meneruskan misi untuk bergelar juara dalam kejohanan ini.
“Sebagai pendatang baharu, semestinya pencapaian ini amat baik walaupun kami bukanlah pasukan pilihan di tambah beberapa pemain penting tidak dapat beraksi atas faktor tertentu.
“Namun saya berharap kami dapat mengekalkan kemenangan sehingga ke perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur,” katanya. Dalam satu lagi aksi separuh akhir esok menyaksikan juara tahun lalu, Pulapol akan menentang musuh tradisi, Bukit Aman. – UTUSAN ONLINE











