TAIPING – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat putus kaki kanan selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori ais di Kilometer 8, Jalan Taiping-Selama di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 2.30 petang itu, mangsa, Muhammad Azham Mohd. Rozik, 16, yang berasal dari Ulu Sepetang di sini mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jana di sini itu baru tamat sesi persekolahan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu lori ais yang datang dari arah Taiping memperlahankan kenderaannya untuk membelok masuk ke simpang kanan bagi menghantar ais ke sebuah kedai cendol.
“Mangsa secara tiba-tiba merempuh belakang lori berkenaan menyebabkan dia tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah termasuk putus kaki kanan.
“Dia kemudian dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Osman, pemandu lori berusia 49 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











