KUALA LUMPUR 11 Julai – Pengguna dijangka berdepan kenaikan dinamik sehingga dua kali ganda berikutan kemungkinan penyusutan bilangan pemandu e-hailing yang beroperasi disebabkan oleh peraturan baharu kerajaan.
Jangkaan itu disuarakan Presiden Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia, Chong Ming Huei yang turut menjangkakan kenaikan tersebut akan memberi kesan negatif selain boleh menyebabkan kerugian kepada perkhidmatan berkenaan.
“Jika berlaku kenaikan dua kali ganda, penumpang tidak akan memilih untuk menaiki perkhidmatan ini disebabkan kenaikan yang terlalu tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Julai tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mahu perkhidmatan e-hailing dikawal selia oleh kerajaan melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017. Antara syarat yang ditetapkan adalah mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan, saringan rekod jenayah serta pemeriksaan kenderaan.
Grab menerusi kenyataan dalam laman webnya berkata, syarikat itu memahami masalah yang dihadapi oleh pengguna Grab apabila harga tambang semakin meningkat.
Katanya, kekurangan pemandu itu turut menyebabkan waktu menunggu semakin meningkat.
“Kami menasihatkan pengguna untuk merancang perjalanan dengan membuat tempatan lebih awal terutama ketika hendak menaiki pesawat atau menghadiri mesyuarat penting.
“Bagaimanapun, mendapatkan perkhidmatan di luar waktu puncak adalah lebih mudah berbanding waktu puncak iaitu pada pukul 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 8 malam,” katanya di sini hari ini.
Tambah syarikat e-hailing itu, peraturan baharu berkenaan hanya akan menjejaskan perkhidmatan GrabCar, JustGrab, GrabCar Plus, GrabCar (Premium) manakala tiada kesan untuk perkhidmatan teksi.
Menurutnya, cadangan pelaksanaan peraturan baharu itu telah diumumkan pada tahun lepas, tetapi proses sebenarnya bermula April tahun ini.
“Menjelang pelaksanaannya pada 12 Julai ini, kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) bagi meningkatkan kecekapan proses dan membantu meringankan kos pemandu kami,” katanya.
Minggu lalu, Persatuan Pemandu E-hailing Malaysia (MeHDA) menjangkakan tambang e-hailing akan meningkat sehingga 50 peratus disebabkan faktor-faktor seperti penawaran dan permintaan serta masa perjalanan.











