Bimbang jambatan usang, reput - Utusan Malaysia

Bimbang jambatan usang, reput

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA 11 Julai – Ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Peribahasa itu cukup untuk menggambarkan situasi dihadapi kira-kira 500 penduduk Kampung Empa di sini yang terpaksa menggunakan jambatan besi yang usang dan reput sehingga ‘berbuai-buai’ ibarat melalui jambatan gantung pada setiap hari.

Dakwa penduduk, jika mereka tidak menggunakan jambatan itu, satu laluan alternatif yang paling dekat adalah kira-kira lima kilometer ke jalan utama, tetapi jalan tersebut pula gelap dan sempit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut penduduk, Mat Isa Puteh, 69, beberapa bahagian jambatan itu juga sudah lekang selain keadaan lantai yang turut reput terutamanya apabila dilihat dari bahagian bawah jambatan berkenaan yang melintasi Sungai Padang Terap.

Katanya, penduduk terpaksa membahayakan nyawa berikutan jambatan itu merupakan laluan utama untuk mereka keluar masuk terutamanya ketika menghantar anak ke sekolah.

“Jambatan besi yang sudah berusia lebih 25 tahun ini sepanjang kira-kira 100 meter, strukturnya tidak lagi kukuh selain tiang rasuknya sudah lekang dari kedudukan asal, penghadang kiri kanan pun sudah hampir runtuh dan sesiapa yang pernah melaluinya akan dapat rasa bagaimana ia ‘berbuai-buai’.

“Kami pernah minta penduduk yang memiliki bot untuk melihat bahagian bawah jambatan dan memang keadaannya sudah teruk dan reput, saya bimbang jika dibiarkan suatu hari nanti akan berlaku kejadian tidak diingini terutama kepada pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang pengetua sebuah sekolah yang juga penduduk kampung itu, Rusma Abu Hassan, 54, berkata, pihak berwajib memasang papan tanda laluan itu ditutup kepada semua kenderaan kecuali motosikal sebelum ini.

Bagaimanapun, penduduk kampung terpaksa membuang papan tanda itu kerana mereka tiada pilihan dan sanggup bergotong-royong untuk memateri bahagian yang lekang dan reput.

“Sudah banyak kali penduduk kumpul duit dan pateri sendiri bahagian yang lekang, jika tak buat begitu, sukar kami untuk keluar bekerja, saya pula memandu kereta untuk ke sekolah di Pendang setiap hari,” katanya.

Rusma berharap pihak bertanggungjawab dapat segera membaik pulih atau menaik taraf jambatan itu apatah lagi kedudukannya di sempadan dua daerah iaitu Pokok Sena dan Kubang Pasu.

Katanya, sebelum ini pegawai daerah dari dua kawasan berkenaan sudah turun padang, selain aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), namun belum ada sebarang tindakan diambil.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerja-kerja membaik pulih jambatan itu akan dilakukan segera selepas mendapat laporan terperinci Pejabat Daerah Pokok Sena.

Beliau juga mengarahkan pejabat daerah terbabit untuk membuat pemeriksaan secepat mungkin bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

“Kita akan minta Pejabat Daerah Pokok Sena melihat keadaan sebenar dan mencadangkan jika perlu dibaiki. Kita akan mohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan ataupun kita lihat bajet sendiri (kerajaan negeri), saya akan minta mereka lakukan segera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini