KUALA LUMPUR 12 Julai – Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye menerima anugerah Khas pencapaian seumur hidup (tanggungjawab sosial) di karnival Anugerah CSR Malaysia 2019.
Menurut beliau, anugerah diterimanya didedikasikan kepada masyarakat yang berkerja keras untuk merealisasikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan perkara tersebut mendorongnya bekerja dengan lebih keras melahirkan masyarakat Malaysia yang lebih prihatin.
Tambah beliau, tanggungjawab sosial akan dapat memberi harapan bahawa akan ada orang yang akan sedia untuk mereka yang berada dalam kesusahan.
“Saya amat gembira menerima anugerah ini dan mendedikasikannya kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja keras untuk melaksanakan program CSR mereka. Ia juga mendorong saya untuk bekerja lebih keras untuk merealisasikan impian untuk membentuk rakyat Malaysia yang lebih prihatin.
“Tanggungjawab sosial dapat memberi harapan kepada golongan kurang bernasib baik bahawa masih ada orang yang bersedia untuk membantu mereka,
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh bagi menghargai sumbangan beliau dalam meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab sosial dan usaha mempromosi keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan yang diterajuinya. -UTUSAN ONLINE











