KUALA LUMPUR 11 Julai – Dasar Keusahawan Nasional 2030 (DKN2030) dirangka sebagai usaha kerajaan untuk beralih daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi baharu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, dasar tersebut dirangka untuk diguna pakai oleh semua kementerian sebagai panduan bagi merangka program atau aktiviti yang berkaitan dengan keusahawanan.
“Terdapat 16 kementerian di bawah Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Majlis Keusahawanan Nasional dan kami berperanan memantau aktiviti setiap kementerian supaya lebih bersasar.
“Bermula minggu depan, kita akan mengadakan beberapa perbincangan dengan pelbagai kementerian bagi meneliti pelan tindakan masing-masing, seterusnya memperincikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran DKN2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut Wan Suraya berkata, DKN berpotensi untuk mengoptimumkan prestasi perniagaan setiap usahawan bermula dari peringkat awal hingga akhir.
Kata beliau, kementerian ketika ini sedang membangunkan data yang lengkap termasuk bilangan usahawan yang telah berjaya dilahirkan mengikut segmen masing-masing seperti PKS, koperasi dan mikro PKS.
“Kami yakin dasar ini akan membantu para usahawan untuk mendapatkan maklumat dan panduan yang lengkap daripada peringkat penghasilan hingga eksport termasuk rekod perniagaan mereka,” katanya.











