UTUSAN: Pendapat Tan Sri mengenai usaha yang dilakukan kerajaan menerusi DKN2030 untuk mengukuhkan lagi bidang keusahawanan di negara kita.
ABDUL RAHIM: Saya berpendapat bahawa pelancaran DKN2030 merupakan suatu peristiwa bersejarah bukan sahaja kepada masyarakat keusahawanan bumiputera tetapi seluruh negara. Saya nampak asasnya lebih luas daripada dulu yang pernah kita tahu seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Kita lihat keusahawanan ini memerlukan spektrum lebih luas. Bukan setakat misalnya pemasaran di tempat kita, daerah, negeri atau negara kita sahaja tetapi memerlukan pentas dunia bagi merealisasikan kejayaan secara mantap.
Tan Sri ada sebutkan tentang DEB. Apakah Tan Sri merasakan DKN2030 sebagai kesinambungan kepada DEB?
Ya, dasar baharu ini dilihat sebagai kesinambungan kepada DEB untuk membolehkan usaha dibuat lebih gigih kepada masyarakat bumiputera dan bukan bumiputera untuk melihat tahun 2030 sebagai negara usahawan. Ini merupakan langkah baik. Usahawan ini tafsirannya bukan orang yang mencari pekerjaan tetapi membina perniagaan dan mencipta pekerjaan untuk orang lain.
Pada pandangan Tan Sri apa perbezaan antara DKN2030 dengan DEB?
Dasar dahulu membuatkan golongan bumiputera ini terlalu manja, bergantung dan mengharapkan kerajaan. Banyak inisiatif dilaksana tetapi tak menjadi dan kita tak boleh memastikan perniagaan itu jadi mampan. Sedikit silap kita kecewa dan minta bantuan lagi. Tiada apa yang kita boleh banggakan bahkan pencapaian ekonomi orang Melayu tetap 20 peratus sahaja. Kita mesti berubah sikap. Tanam dalam hati semangat untuk berniaga tanpa bergantung, ‘minta sedekah’ dan manja sehingga berlaku banyak perkara termasuk penyelewengan dan sebagainya.
Bagaimana Tan Sri melihat DKN2030 mampu membantu golongan muda meningkatkan keupayaan mereka?
Saya percaya generasi muda negara diberi peluang untuk bangkit di bawah DKN2030. Asalkan mereka bersemangat untuk jadi usahawan yang tidak menipu, jujur dan ikhlas mereka akan dapat manfaat. Golongan muda ini biasanya datang daripada latar belakang berpendidikan tinggi. Jadi, mudah untuk kita bentuk mereka menjadi asas kekuatan pembinaan Malaysia sebagai negara usahawan. Insya-Allah komitmen ditunjukkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan jadi kenyataan.
Apakah harapan Tan Sri dengan pelaksanaan DKN2030?
Saya berharap DKN2030 akan benar-benar menjadi landasan pembinaan kekuatan ekonomi Malaysia. Kita nak lihat ekonomi negara ditadbir oleh usahawan yang mempunyai pengetahuan, fleksibel, gigih dan mampan supaya asas yang diwujudkan akan dapat mencapai matlamat untuk kemakmuran bersama, adil dan saksama kepada semua kaum dan semua wilayah. Tahniah juga kepada Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof atas inisiatif beliau ini.











