Kewajipan menghadiri majlis kahwin - Utusan Malaysia

Kewajipan menghadiri majlis kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SECARA umum, menghadiri kenduri perkahwinan adalah perkara yang diperintahkan. Dan setiap kata perintah yang terdapat dalam al-Quran dan sunah membawa kepada hukum wajib, melainkan terdapat petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.

Pedoman

Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan lain.

Majoriti ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW maksudnya: “Apabila seorang daripada kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.” – Riwayat Muslim

Memuatkan artikel berkaitan…

Menjelaskan hadis ini, Imam Al-Nawawi berkata: “Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardu ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran iaitu sekiranya ada syubhah (keraguan) pada makanan dan kemungkaran dalam majlis tersebut.”

Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: “Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya.” (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622)

Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.

Selain itu, antara faktor keuzuran lain adalah jemputan tersebut berlangsung jauh dari kediaman, kesibukan orang dijemput seperti ahli politik, agama, dan juga pemimpin masyarakat serta terlalu banyak jemputan kenduri lain pada hari yang sama.

Majlis perkahwinan yang dijemput oleh dzimmi (orang bukan Islam), maka pendapat sahih mengikut sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.

Bagi menghadiri majlis perkahwinan yang mengkhususkan orang kaya, berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang miskin.” – Riwayat Ibn Majah

SUMBER: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini