Tahanan warga Nigeria dilayan ikut SOP - Utusan Malaysia

Tahanan warga Nigeria dilayan ikut SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 12 Julai – Jabatan Imigresen masih menunggu laporan penuh kesihatan dan bedah siasat seorang tahanan warga Nigeria yang meninggal dunia dalam Depot Imigresen Bukit Jalil pada 9 Julai lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki itu yang bernama Thomas Orhions Ewansiha bersama tahanan lain telah dilayan dengan berhemah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh pegawai terlibat.

Beliau menjelaskan, ketika waktu kejadian lebih kurang pukul 12.05 tengah malam, pegawai bertugas dimaklumkan oleh tahanan lain bahawa lelaki itu secara tiba-tiba mengalami sawan ketika sedang tidur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tindakan pemeriksaan dan rawatan serta-merta diambil oleh Unit Rawatan Khas yang bertugas dan kemudian menghubungi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bantuan segera.

“Ambulan yang tiba bersama seorang penolong pegawai perubatan pada pukul 12.30 tengah malam dan terus melakukan pemeriksaan serta bantuan, namun tahanan telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ujar Khairul Dzaime, tahanan pernah diberikan rawatan asas oleh Jabatan Pertahanan Awam kerana terdapat luka lama di bahagian betis kanan dan dia juga tidak memaklumkan sebarang penyakit yang dihadapi.

Dalam masa sama, Khairul Dzaimee berkata, lelaki tersebut sebelum itu telah ditahan dalam satu operasi dijalankan Jabatan Imigresen di kawasan kejiranan Desa Aman Puri, Kepong pada pukul 10.45 malam, 4 Julai lalu susulan aduan kebanjiran warga Afrika di lokasi terlibat.

“Ketika serbuan dijalankan, terdapat warga Afrika di beberapa kedai makan dan sebahagian besarnya berkumpul sekitar aras bawah beberapa blok pangsapuri bertindak melarikan diri dan enggan memberi kerjasama.

“Tahanan sama juga telah melarikan diri namun berjaya ditangkap pegawai imigresen dan dia kemudian telah mengemukakan pasport dan hasil semakan mendapatinya memiliki pas pelajar yang masih sah laku,” katanya.

Walau bagaimanapun, ujar Khairul Dzaime, tindakannya yang melarikan diri telah menimbulkan keraguan atas ketulenan pas dimiliki.

“Dia disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) dan telah ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selama 14 hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, semua tahanan termasuk lelaki terlibat telah dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil pada pukul 12.00 tengah hari, 5 Julai lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini