KUALA LUMPUR 12 Julai – Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia pada Mei meningkat sebanyak 30.2 peratus kepada 44,164 tan berbanding 33,923 tan pada bulan sebelumnya yang mana ia adalah pengeluaran tertinggi sejak Februari 2019.
Jabatan Perangkaan dalam kenyataannya berkata, pengeluaran juga meningkat sebanyak 23.5 peratus tahun ke tahun.
Katanya, eksport NR meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada 56,850 tan berbanding 55,930 tan pada April.
“China ialah destinasi utama bagi eksport getah asli iaitu sebanyak 50.5 peratus daripada jumlah eksport pada Mei 2019 diikuti Jerman (12.4 peratus), Iran (4.9 peratus), Amerika Syarikat (3.7 peratus) dan Finland (3.2 peratus),” katanya di sini hari ini.
Harga purata bagi susu getah pada Mei 2019 turun sebanyak 2.3 peratus kepada 484.30 sen sekilogram daripada 495.52 sen sekilogram pada bulan sebelumnya manakala harga purata bagi gred Getah Piawaian Malaysia atau Standard Malaysian Rubber 20 (SMR20) meningkat kepada 625.65 sen sekilogram berbanding 613.86 sen sekilogram pada April.
Jumlah penggunaan getah asli dalam negara adalah sebanyak 43,546 tan susut 1.4 peratus daripada 44,169 tan pada April 2019.
Getah asli digunakan secara meluas dalam industri sarung tangan getah yang penggunaannya pada Mei sebanyak 32,696 tan atau 75.1 peratus daripada jumlah penggunaan dalam negara.
“Kadar stok NR pada akhir Mei turun 3.4 peratus kepada 176,520 tan daripada 182,645 tan pada April,” katanya.
HABIS…











