TEMERLOH – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odyssey ditemui terbakar di padang bola sepak Kampung Desa Baru Purun, di sini awal pagi tadi.
Kenderaan tersebut disyaki sengaja dibakar bagi menghapuskan bukti berkaitan aktiviti mencuri lembu dan kerbau di kampung terbabit.
Seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Along, 30-an, berkata, kejadian tersebut disedari oleh penduduk kampung kira-kira pukul 6 pagi.
“Beberapa penduduk telah melihat sebuah kenderaan terbakar di tengah padang dan bertindak memadamkan api.
“Penduduk juga menemui seekor kerbau berhampiran kenderaan terbabit dan mengesyaki ada kaitan dengan aktiviti mencuri lembu dan kerbau di beberapa kawasan sekitar daerah ini,” katanya.
Menurutnya, kenderaan tersebut kemungkinan rosak menyebabkan individu yang terlibat membakarnya bagi menghapuskan bukti sebelum melarikan diri.
“Ini adalah kejadian pertama berlaku di kampung kami dan laporan polis berkaitan kejadian ini telah dibuat di Balai Polis Kerdau,” ujarnya.- K! ONLINE











