Eksport 10,000 kilogram Musang King - Utusan Malaysia

Eksport 10,000 kilogram Musang King

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Usahawan durian Musang King yang terkenal di negeri ini dijangka dapat mengeksport lebih 10,000 kilogram durian jenis itu ke negara China dan Hong Kong pada musim ini.

Chong Yok Fong, 52, yang lebih dikenali sebagai Tina Chong atau ‘Musang Queen’ berkata, pengeluaran durian Musang King diusahakannya meningkat berbanding tahun lalu.
     
Katanya, sejak duriannya gugur dua minggu lalu ianya mendapat permintaan tinggi daripada pembeli dan pemborong dari serata tempat.
     
“Bagaimanapun, saya lebih mengutamakan pemborong durian Musang King dari Raub, Pahang dahulu yang akan mengeksport buah itu ke negara China dan Hong Kong.
     
“Dusun durian saya mampu mengeluarkan 4,000 biji musim kali ini daripada lebih 500 pokok, berbanding tahun lalu hanya 3,000 biji sahaja,” katanya.

Menurut Tina, harga pasaran eksport durian Musang King ke luar negara melonjak melebihi RM100 sekilogram. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pada tahun ini juga dia menjual durian bagi pasaran tempatan bermula harga RM30 sehingga RM50 sekilogram.

“Biarpun mendapat persaingan keluaran durian Musang King tetapi sedikitpun tidak menjejaskan pengeluaran daripada kebun saya yang diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu.
     
“Boleh dikatakan setiap hari pelancong dari dalam dan luar negara akan datang ke kebun untuk membeli dan makan durian termasuk pelancong dari Hong Kong,” katanya.

Tina berkata, dia telah mengusahakan kebun durian di kawasan seluas 10 hektar di Kampung Pulai sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, durian Musang King ditanamnya istimewa berbanding durian lain apabila bijinya kecil, isi tebal, berbau harum serta mempunyai rasa pahit dan manis. 

“Saya telah mengupah enam orang pekerja untuk urusan menjaga kebun durian setiap hari serta  dibantu oleh adik-beradik lain.

“Selain itu, saya turut membuka gerai berhampiran rumah di Kampung Batu Papan 2 dan pelanggan boleh datang sendiri untuk memilih serta merasai keenakan durian Musang King dalam suasana dusun durian,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini