NAMA agensi percutian dan pelancongan berteraskan Islam, Harmony Excellence Holidays (HEH) bukanlah asing dalam kalangan mereka yang pernah mendapatkan khidmat nasihat pelancongan atau menunaikan ibadah umrah dan haji di negara ini.
Pelbagai usaha dilakukan bagi membantu jemaah menambah pengetahuan berkaitan haji dan umrah. Terbaharu, agensi itu melancarkan buku pertama yang ditulis sendiri oleh Pengarah Urusannya, Nor Hashim Abdullah berjudul Uncle Hashim (Menyantuni Tetamu Allah) serta laman web syarikat www.harmoni2u.com.
“Saya berasa teruja dengan penerbitan naskhah ini. Antara kelebihan buku ini berbanding buku lain yang ada di pasaran adalah ia berdasarkan kisah benar iaitu pengalaman jemaah sebelum dan selepas mengerjakan umrah dan haji,”katanya kepada Utusan Online.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran buku dan website tersebut di Hotel De Palma, Ampang, Selangor baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nor Hashim berkata, pihaknya bercadang untuk membekalkan buku ini kepada jemaah di bawah agensi sendiri iaitu HEH pada musim haji tahun ini.
“Terdapat banyak tip berguna yang boleh diaplikasikan oleh mereka sepanjang berada di tanah suci kelak,”tambahnya.
Beliau berkata, selain mengisahkan pengalaman jemaah, buku itu juga menceritakan pengalaman pengendali urusan umrah dan haji yang telah hampir 10 tahun menyantuni tetamu Allah sepanjang berada di kedua-dua Kota Haramain.
“Buku ini juga berguna kepada mereka yang belum berpeluang menjejakkan kaki ke Mekah kerana isi kandungannya memberi penjelasan tambahan mengenai ibadah ini. Orang ramai yang ingin dapatkan buku ini boleh menempah secara atas talian di laman web syarikat atau kunjungi HQ HEH di Taman Wangsa Melawati, Kuala Lumpur,” ujarnya.
Mengenai pelancaran laman web rasmi syarikat itu, Nor Hashim berkata, portal sedemikian membantu menyalurkan pelbagai maklumat terbaharu kepada masyarakat seperti tawaran pakej umrah, maklumat pelancongan dalam dan luar negara serta aktiviti HEH dengan hanya satu klik.
Sementara itu, beliau juga berkata, tujuan utama penubuhan syarikat itu bukan sahaja sebagai agensi pelancongan atau menyediakan pakej umrah dan haji tetapi juga menyumbang semula kepada masyarakat.
“Kebanyakan warga emas yang kami temui di Felda dan kampung menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke tanah suci tetapi kekangan kewangan menyebabkan niat suci mereka tidak dapat diteruskan.
“Dengan hasil sumbangan golongan berada serta keuntungan syarikat, kami dapat menaja lebih 100 orang untuk mengerjakan umrah secara percuma.
“Insya-Allah pada September tahun ini, kami akan menaja 20 warga emas berusia 65 tahun ke atas yang terdiri daripada golongan asnaf untuk sama-sama dapat merasai kemanisan ibadah umrah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga merancang untuk membuka sebuah rumah kebajikan kepada golongan kurang berkemampuan seperti anak yatim, warga emas dan fakir miskin bagi memenuhi dasar tanggungjawab sosial korporat syarikat, Harmony Care untuk terlibat dalam perkara tersebut, selain menyemarakkan industri pelancongan dan meneruskan kerja-kerja amal serta kebajikan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 010-5032020 atau melayari laman Facebook, harmonyexcellence dan Instagram harmonyexcellenceholidays.











