HADIS palsu atau mawdhu telah lama bersarang dalam kalangan umat Islam iaitu sejak selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Ia bukan hanya menular dalam amal ibadat seharian umat Islam tetapi sering kali digunakan bagi menyokong hujah atau pendapat seseorang apabila bercakap tentang hukum agama.
Malah, gejala yang sangat dibenci oleh Rasulullah tersebut itu juga bukan hanya dilakukan oleh musuh-musuh Islam seperti Yahudi dan Nasrani, tetapi kalangan orang Islam sendiri yang bersikap fanatik, ada kepentingan peribadi dan jahil tentang kehendak serta keperluan agama Islam itu sendiri.
Mereka ini ada masalah hati iaitu benci atau tidak suka kepada perkembangan agama Islam. Keadaan itu turut disulitkan lagi dengan sikap segelintir para ustaz atau ustazah yang tidak amanah dalam menyampaikan kuliah agama kepada orang ramai.
Dalam suasana tersebut, tidak hairanlah ada mendakwa jumlah hadis palsu lebih banyak berbanding hadis sahih.
Menyebarkan hadis palsu adalah haram kerana ia boleh membawa kepada gejala fitnah kepada Rasulullah SAW, bahkan boleh menimbulkan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri.
Rasulullah memberi amaran dengan bersabda: “ Sesiapa yang berdusta atas namaku, maka siaplah tempatnya dalam api neraka,” – Riwayat Bukhari
Ketegasan tersebut adalah sejajar dengan makna hadis palsu itu sendiri yang dikaitkan kenyataan, perbuatan atau amalan yang disandarkan kepada Nabi sedangkan baginda tidak pernah melakukannya.











