SEDEKAH adalah amalan mulia. Sedekah dengan ikhlas bukan hanya akan menjanjikan ganjaran pahala tetapi membuat hidup kita lebih tenang sentiasa.

Ini kerana Allah SWT akan melapangkan dada, membuatkan kita gembira, melegakan perasaan dan menyejahterakan seluruh hidup kita.
Sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah: 254, bermaksud: “Wahai orang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat. Dan orang kafir itulah orang yang zalim.”
Amalan bersedekah juga menjadi satu tanda atau bukti untuk membolehkan kita menilai sejauh manakah teguhnya iman dan tawaduk kepada Allah SWT.
Bagaimanapun dalam suasana hari ini, dilihat ada pihak tertentu yang cuba memanipulasikan amalan bersedekah untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.
Kalau sebelum ini, mereka menggunakan anak-anak kecil atau golongan kurang upaya untuk meraih simpati masyarakat umum, tetapi kini, mereka tanpa rasa takut dan segan menggunakan nama pusat tahfiz, rumah anak yatim atau rumah jagaan warga emas untuk meraih kekayaan peribadi.
Sudah pasti situasi itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan umat Islam. Mereka secara sudah pasti mahu setiap sen yang didermakan itu sampai kepada golongan sasar.











