BESUT 12 Julai – Seramai 15 orang pemandu teksi menyertai pertandingan Penceritaan Firdaus 2050 di pekarangan perhentian teksi bandar Jerteh dekat sini malam tadi.
Pertandingan anjuran Pejabat Ahli Parlimen Besut itu bertujuan memupuk kesedaran dan rangsangan umum dengan impian besar melahirkan golongan anak bangsa berilmu yang melakar pencapaian hebat di persada dunia.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat di daerah ini, pemandu teksi juga berperanan menyebarkan semangat bagi melahirkan anak bangsa yang hebat itu.
Katanya, ikon impian Firdaus 2050 itu mensasarkan tempoh 30 tahun berdasarkan acuan manusia seimbang yang kukuh jati diri dan pegangan agamanya di samping berbakti kepada bangsa dan negaranya.
“Penglibatan golongan pemandu teksi yang mempunyai akses secara langsung dengan anggota masyarakat lain akan membantu menggerakkan gelombang kesedaran itu,” katanya dalam majlis itu.
Sementara itu, A.R. Remi Zakaria, 63, muncul johan pertandingan dengan menerima hadiah wang tunai RM500 diikuti naib johan, Zulkifli Said, 48, mendapat RM300 dan Tuan Deris Tuan Nor, 55, di tempat ketiga yang menerima RM200. – UTUSAN ONLINE











