KUALA LUMPUR 12 Julai – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai gandingan terbaik menjadi Timbalan Perdana Menteri sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelak.
Pandangan itu disuarakan oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa yang menyifatkan Muhyiddin bukan sahaja sangat layak malah berpengalaman sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.
Jelasnya, situasi itu sekali gus menjadikan gandingan kedua-dua pemimpin itu adalah kombinasi terbaik dalam peralihan kuasa jawatan penting negara nanti.
“Dalam isu peralihan kuasa, perkara yang pertama adalah isu kestabilan negara iaitu kepemimpinan yang teratur dan pemimpin yang menggantikan mesti berpengalaman.
“Dalam konteks Pakatan Harapan, ada dua pemimpin paling senior iaitu Anwar dan Muhyiddin. Setakat ini, tiada orang yang bincang dan saya memberanikan diri membincangkan untuk Anwar mengambil pemimpin Melayu daripada parti bukan PKR sebagai gandingannya menjadi Timbalan Perdana Menteri iaitu Muhyiddin,” katanya seperti dipetik dalam portal Sinar Harian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Husam berkata, langkah itu juga sebagai menghargai kesudian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil pemimpin bukan daripada Bersatu untuk menjadi Timbalan Perdana Menterinya iaitu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam pada itu, Husam berkata, hubungan antara keluarga Dr. Mahathir dan Anwar mesti dijaga kerana kedua-dua individu itu mempunyai pemimpin pelapis pada masa hadapan.
“Jangan beri dua keluarga ini berperang semula, ia satu kerugian kepada kestabilan negara sebab dua keluarga ini mempunyai pemimpin pelapis iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Nurul Izzah Anwar. Kalau mereka bertembung semula, saya kira tiada keuntungan kepada negara.
“Alangkah indah jika peralihan kuasa berjalan seperti disebutkan dan dengan sendiri semua masalah lain akan selesai,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











