PARIS – Penyerang Pperancis dan Atletico Madrid, Antoine Griezmann dikatakan semakin hampir untuk menjadi milik Barcelona, menurut laporan media di Perancis dan Sepanyol awal hari ini.
Akhbar Sepanyol, Mundo Deportivo misalnya melaporkan kelab Catalans itu telah bersetuju membayar klausa pelepasan berjumlah 120 juta euro (RM556.8j) kepada Atletico selepas pemain berusia 28 tahun itu menurunkan tandatangan ke atas kontrak lima tahun di Camp Nou.
Akhbar harian Perancis, L’Equipe pula menambah sensasi perpindahan itu dengan melaporkan, Barcelona sudah pun memindahkan bayaran tersebut menerusi bank kepada Atletico.
Tindak tanduk Griezmann yang gagal hadir pada latihan persiapan pra musim pada Ahad lalu juga menguatkan lagi spekulasi itu dan ini disokong pula pengumumannya untuk meninggalkan Atletico pada Mei lalu.
Ketika itu, Griezman belum membuat keputusan muktamad tentang kelab yang menjadi destinasinya kerana mahu menunggu hingga 1 Julai untuk menyaksikan klausa pelepasannya berkurangan daripada jumlah asal 200 juta euro (RM928j).
Sebagai rekod, Griezman menyertai Atletico pada 2014 dan telah menjaringkan 133 gol menerusi 257 penampilan bersama kelab itu termasuk pernah menjulang Piala Raja Sepanyol dan kejuaraan Liga Europa. – AFP











