KUALA LUMPUR 12 Julai – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan penglibatan jabatan berkenaan dalam isu ‘Projek IC 2.0’ di Sabah yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Jabatan itu dalam kenyataannya menegaskan resit urusan pendaftaran kad pengenalan seperti yang tersebar itu bukannya resit rasmi yang dikeluarkan dan digunakan JPN bagi tujuan pendaftaran.
Menurut JPN, jabatan itu tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang perseorangan untuk mewakili JPN dalam apa-apa urusan dengan semua resit rasmi hanya dikeluarkan kepada pelanggan yang mempunyai urusan di kaunter pejabat JPN dan tidak diedarkan sewenang-wenangnya.
“JPN memandang serius isu ini yang telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dengan menjalankan siasatan lanjut terhadap perkara tersebut.
“Jabatan ini meminta orang ramai tidak mempercayai dan menyebarkan maklumat palsu berkenaan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan gangguan ketenteraman awam,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, JPN turut menasihatkan orang ramai untuk hadir sendiri ke mana-mana pejabat jabatan itu untuk mendapatkan maklumat.
“Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-8880 7077/7067/7069/8206 atau emel ke [email protected],” katanya. – UTUSAN ONLINE











