KUALA LUMPUR 11 Julai – Shopee mencatatkan prestasi memberangsangkan pada separuh pertama 2019 disokong oleh aktiviti beli-belah lebih tinggi terutamanya pada Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho (gambar) berkata, dalam tempoh hanya setahun, Shopee telah menggandakan bilangan muat turun aplikasi daripada kira-kira 10 juta muat turun kepada 20 juta muat turun setakat ini.
Katanya, ini dicapai menerusi usaha penjenamaan dan komunikasi kreatif, kejayaan pakatan jenama yang eksklusif dan sebaran menerusi kata mulut oleh rakyat Malaysia membuktikan bahawa produk ditawarkan memenuhi permintaan pasaran.
Jelas beliau, pertumbuhan Shopee dipacu dengan pengenalan perkhidmatan penghantaran keesokan hari pada Jun lalu.
“Kami yakin bahawa separuh kedua 2019 pasti lebih menarik dengan pertumbuhan kukuh dicatatkan menerusi jualan hebat 9.9, 10.10, 11.11 dan 12.12, bukan sahaja untuk industri kami tetapi juga seluruh rangkaian industri yang menyokong e-dagang termasuk bank, syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan logistik.
“Selain kempen jualan yang dirancang sepanjang tahun, kami akan terus menggiatkan usaha kami sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk mempercepatkan pertumbuhan e-dagang sebagai sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Setakat ini, Shopee Malaysia menggaji lebih daripada 600 orang, kenaikan 50 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2018. Kakitangan di Malaysia dilatih untuk berkhidmat kepada pasaran Malaysia dan sebahagian pasaran Singapura.
Ujar beliau lagi, pihaknya menggalakkan rakyat Malaysia untuk menceburi bidang keusahawanan dan menyediakan platform bagi usahawan tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro perniagaan menjual di peringkat kebangsaan.
“Kami bertekad mahu memastikan Malaysia bersedia untuk mencapai unjuran pertumbuhan e-dagang tahunan Malaysia pada kadar 20 peratus menjelang 2020.
“Kami akan terus bekerja keras dan memberikan sokongan padu dengan matlamat membawa manfaat kepada ekonomi tempatan dan Malaysia sambil berusaha menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2024,” katanya.
•
Antara pencapaian penting pada musim Hari Raya 2019 termasuk:
• Ilhamic Resources: penjual Shopee dari Kelantan yang dulu mencatatkan jualan serunding hanya RM7 sebulan telah menjana purata perolehan RM3,000 semasa bulan Ramadan.
• Hafya Fella: penjual busana Muslim yang dulu mencatatkan jualan RM450 sebulan mencapai peningkatan 77 kali ganda dalam jualan dengan meraih hasil bulanan RM36,000 di Shopee sahaja.
• Domino’s Pizza: menjual kesemua 500 piza saiz biasa dalam masa lima minit.











