Lebih banyak tender solar akhir 2020 - Utusan Malaysia

Lebih banyak tender solar akhir 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Julai – Kerajaan dijangka mengumumkan lebih banyak tender bagi projek tenaga solar berskala besar (LSS) menjelang akhir tahun 2020 sejajar de­ngan ko­mitmennya untuk me­ning­katkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 20 peratus menje­lang 2025.

Menteri Te­na­ga, Sains, Tek­no­logi, Alam Sekitar dan Perubahan Ik­lim, Yeo Bee Yin berkata, terdapat beberapa perubahan dilakukan pada tender berkenaan untuk menjadikannya lebih inovatif.

“Ia (tender) akan menjadi lebih inovatif dan diharapkan dapat memacu kos lebih rendah,” katanya pada forum pelaburan Evolution of ESG Investing yang dianjurkan oleh Maybank dan Bursa Malaysia di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Februari lalu, kerajaan telah mengumumkan pembukaan tender untuk projek bernilai RM2 bilion di bawah skim LSS pusingan ketiga (LSS3) bagi me­ning­katkan penjanaan elektrik daripada tenaga boleh diperbaharui (RE).

Bee Yin berkata, di bawah projek LSS3 itu, setiap 1 megawat (mW) loji solar dijangka dapat menjana tenaga sebanyak 1,490 mW perjam yang berupaya membekalkan elektrik kepada hampir 160 buah rumah.

Selain itu katanya, ia juga dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 1,034 tan setahun bersamaan dengan jumlah penyerapan karbon dioksida oleh kawasan hutan seluas kira-kira 1,000 ekar.

“Dari segi manfaat ekonomi pula, pelaksanaan projek LSS3 mampu menjana pelaburan berjumlah RM2 bilion dengan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Bee Yin berkata, projek LSS3 dijangka dikomersialkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Katanya, setakat ini sebanyak 719 syarikat telah mengambil bahagian dalam tender itu dan menyifatkannya akan menjadi persaingan sengit dalam kalangan para pemain industri.

Penyerahan cadangan tawaran bagi projek LSS3 akan ditutup pada pertengahan Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini