Kereta terbakar elak langgar motosikal - Utusan Malaysia

Kereta terbakar elak langgar motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Julai – Sebuah kereta terbakar selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal di Kilometer 453 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Rawang awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, kesemua mangsa terselamat dan hanya penunggang motosikal cedera selepas terjatuh.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, kejadian berlaku selepas sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Harley-Davidson ditunggang seorang lelaki terjatuh di lokasi dan menyebabkan tiga kereta terbabit dalam kemalangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.12 pagi.

“Berikutan itu, enam anggota bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi. Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta jenis Toyota Camry terbakar sebelum berjaya dikawal beberapa minit kemudian.

“Difahamkan kejadian berpunca daripada sebuah motosikal terjatuh di lokasi berkenaan sebelum sebuah kenderaan lain yang mengelak dari melanggar mangsa terbabas di lorong kiri dan menyebabkan dua kereta lain merempuh kenderaan itu,” katanya di sini hari ini.

Tambah jurucakap bomba, pemandu kereta yang terbakar itu bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dengan keluar daripada kenderaannya dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Difahamkan penunggang motosikal hanya cedera di bahagian tangan sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini