PULAU PINANG 12 Julai – Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) perlu mengkaji semula kelulusan awal cadangan tambak laut bagi membina tiga buah pulau di selatan perairan negeri ini.
Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, sekalipun kerajaan negeri telah mendapat kelulusan impak alam sekitar (EIA) bersyarat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi projek itu, namun ia masih tertakluk kepada keputusan muktamad kerajaan Pusat.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Pusat perlu mengambil kira pandangan pelbagai jabatan teknikal, bantahan rakyat, kehilangan punca rezeki ribuan nelayan, kerosakan dan kecacatan ekosistem serta kedudukkan geopolitik dari sudut pembangunan di negeri ini dalam mempertimbang kelulusan projek tersebut.
Ujar beliau, projek tambak laut seluas kira-kira 1,800 hektar itu juga perlu dinilai sama ada bakal memberi faedah serta manfaat kepada penduduk negeri ini hasil kewujudan tiga buah pulau buatan manusia berkenaan atau sebaliknya.
“Soal periuk nasi kaum nelayan dan keluarga mereka khususnya perlu dijadikan keutamaan kerana jumlah yang terkesan akibat perancangan projek berkenaan di Pulau Pinang dan Perak dikatakan hampir mencecah10,000 nelayan.
“Mengambil kira setiap keluarga nelayan mempunyai tiga isi rumah, ini bermakna 30,000 orang bakal menerima nasib malang dan terabai kebajikan serta kehidupan mereka akibat kerakusan pembagunan tambak laut sekiranya diluluskan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, kira-kira 300 nelayan dan ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan di negeri ini berarak ke Parlimen bagi membantah cadangan kerajaan negeri untuk menambak laut di Permatang Damar Laut di sini.
Sementara itu, Rahmad turut mempersoalkan rasional cadangan projek berkenaan direalisasikan sedangkan bukan merupakan kehendak majoriti penduduk negeri ini.
Dalam masa sama, beliau tertanya-tanya sama ada kerajaan negeri mempunyai pelan alternatif selain menggadai tanah rakyat yang berjumlah berbilion ringgit kepada pehak ketiga semata-mata untuk mencari modal kepada pembangunan negeri.
“Tidakkah dengan cara ini berkemungkinan dalam jangka panjang kerajaan negeri boleh menjadi sebuah negeri yang bankrap sekiranya gagal mendapatkan modal daripada hasil penjualan ketiga-tiga buah pulau berkenaan?” katanya. – UTUSAN ONLINE











