JAKARTA 11 Julai – Gara-gara bekerja sebagai buruh binaan, anak kepada Timbalan Datuk Bandar Tidore mengakui sering ‘diejek’ oleh masyarakat sekeliling mengenai kerjayanya.
Memetik laporan Kompas, Rafdi Maradjabessy bagaimanapun berkata, beliau tidak menghiraukan sebarang cemuhan itu kerana memegang prinsip bekerja keras untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.
Jelasnya, perkara itu diajar oleh bapanya kepada beliau dan adik-beradik yang lain.
“Biarlah, saya tidak kisah dengan kritikan itu kerana bapa selalu mengajar bahawa hidup itu bukan senang.
“Kerja itu harus mula dari peringkat bawah dan bukannya dari atas ke bawah,” kata Rafdi ketika ditemui di Bandar Tidore di Kepulauan Maluku.
Jelas laporan itu, Rafdi ketika ditemui dalam keadaan memakai selipar, seluar pendek, kemeja berwarna hitam tanpa lengan, topi dan badannya dipenuhi simen.
Rafdi merupakan anak ketiga daripada lima adik-beradik.
Bapanya, Muhammad Senin seorang Timbalan Datuk Bandar Tidore.
Menurut laporan itu, selain Rafdi, anak-anak Muhammad yang lain juga tidak menggunakan kedudukan bapa mereka untuk mendapat pekerjaan.
Dalam pada itu Rafdi berkata, ramai yang turut mempersoal beliau yang masih menjadi buruh binaan dan tidak meminta pertolongan daripada bapanya untuk mendapat pekerjaan di pejabat.
“Saya memberitahu mereka sebelum bapa saya menjawat jawatan Timbalan Datuk Bandar, beliau juga bermula dari peringkat bawah dan saya mahu menjadi sepertinya,” katanya.











