AMSTERDAM 11 Julai – Dua beradik kembar siam yang bercantum di bahagian belakang kepala sebelum ini dimaklumkan oleh pakar perubatan tidak akan dapat dipisahkan dan berkemungkinan hidup sampai usia 10 tahun sahaja.
Namun, Neev dan Nelly Kolestein kini berusia 18 tahun dan menjalani kehidupan sama seperti remaja lain biarpun keadaan fizikal berbeza.
Mail Online melaporkan, pasangan kembar Craniopagus itu berkongsi saluran arteri yang sama, namun mempunyai otak dan tubuh badan berasingan.
Ibu kembar tersebut yang enggan dikenali menceritakan, doktor memaklumkan dia bakal melahirkan kembar siam yang bercantum di bahagian kepala, selain bayinya akan meninggal dunia selepas dilahirkan.
Neev dan Nelly tidak dapat dipisahkan kerana berkongsi saluran arteri di bahagian kepala dan jika proses pemisahan dilakukan, berkemungkinan seorang daripada mereka akan meninggal dunia.
Biarpun begitu, pasangan kembar itu menegaskan mereka tidak mahu dipisahkan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan.
Neev dan Nelly bergiat aktif dalam media sosial apabila memulakan program YouTube dan membuka akaun Instagram untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai keadaan mereka.
Selain itu, medium media sosial berkenaan juga bertujuan menunjukkan kepada orang ramai mereka bukan ‘gadis orang kurang upaya (OKU)’, malah boleh melakukan apa sahaja seperti remaja lain.
Mereka hanya dapat ‘melihat antara satu sama lain’ dengan menggunakan cermin.
Pasangan kembar itu dilahirkan di Suriname, namun disebabkan kekurangan peralatan perubatan, mereka berhijrah ke Belanda untuk rawatan intensif.











