Abang hensem suka statistik dan fakta.
Semalam bila berbual dengan seorang rakan ofis, dia berkongsi kisah bila balik ke kampung baru-baru ini, dia dimaki hamun oleh sepupunya secara tiba-tiba.

Padahal katanya, elok-elok sahaja fiil sepupunya sebelum ini. Budi bahasanya tinggi, selalu berkongsi masalah peribadi malah setahun dua kali cuti bersama dua keluarga antaranya ke Bali dan Phuket. Awat lagu tu.
Dia bertanya kepada abang hensem “adakah ia ada kaitan dengan mental problem”. Abang hensem jawab, sesekali elok kita rujuk kepada fakta.
Apa faktanya, tanyanya lagi. Tengok apa yang difokuskan Kementerian Kesihatan untuk tahun 2019 ini. Bukankah kesihatan mental?
Kemurungan, antara penyakit mental yang paling banyak diperkatakan. Dalam terma perubatan dikenali sebagai “Major Depressive Disorder (MDD)”.
Ia dikenal pasti oleh WHO sebagai penyakit keempat terbesar yang menyumbang kepada penyakit global (global disability) yang dialami oleh manusia di seluruh dunia ketika ini. Bahkan, selepas penyakit jantung, diramalkan akan menjadi antara penyebab utama masalah kesihatan di negara-negara membangun menjelang tahun 2020.
Tercengang rakan ofis mendengar hujah dan fakta daripada abang hensem. Selorohnya, bila kau google fakta tu.
Abang hensem cuma senyum kambing.
Cuma abang hensem lebih tertarik dengan kaedah penyelesaian untuk membawa individu yang dikenal pasti barangkali ada unsur-unsur ‘terkena’ penyakit.
Antara kaedah yang dikongsi Dr. Firdaus Abdul Gani, Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dalam Astro Awani awal tahun ini adalah pesakit boleh menjalani sesi psikoterapi di mana dia dibimbing untuk mengenal pasti masalah serta cara penyelesaiannya.
Dia akan dirawat untuk mengenal pasti serta menangani fikiran negatif, digalakkan untuk meluahkan perasaan dengan betul serta diberikan sokongan.
Begitupun bukanlah mudah untuk kita terus melabelkan seseorang itu mengalami kemurungan kerana ia perlu memenuhi kriteria tertentu.
Proses diagnosis untuk ini boleh dilakukan sama ada di klinik psikiatri atau pun di dalam wad bergantung kepada keadaan pesakit. Ia melibatkan penilaian secara temu bual antara pegawai perubatan atau pakar psikiatri dengan pesakit.
Tidak panjang, tidak lebar perkongsian abang hensem dengan rakan ofis tadi.
Tetapi ia untuk kebaikan semua. Ya demi memastikan kesejahteraan hidup berpanjangan kerana kita pasti harapkan orang di sekeliling setidak-tidaknya ada menyimpan sekelumit budi pekerti di kepala dan lubuk hatinya.











