KUALA LUMPUR 11 Julai – KUB Gaz Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh KUB Malaysia Bhd. merasmikan gudang silinder gas petroleum cecair (LPG) baharu yang dimiliki dan dioperasikan oleh rakan pengedar, LP Gas Trading di Hulu Langat, Selangor.
Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulan KUB, Datuk Abdul Rahim Mohd. Zin berkata, LP Gas Trading akan mengedarkan jenama silinder SOLAR GAS di sekitar kawasan perumahan, kedai runcit dan komersial.
Katanya, pelantikan LP Gas Trading sebagai rakan pengedar selari dengan usaha kumpulan untuk mengukuhkan rangkaian pengedar, terutamanya di bahagian sentral.
“Berdasarkan potensi permintaan LPG yang semakin meningkat dalam pasaran domestik dan komersial, kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan LP Gas Trading kerana mereka komited dan mampu untuk menjadi pengedar utama SOLAR GAS di kawasan Hulu Langat.
“Kami percaya bahawa LP Gas Trading berada di kedudukan tepat untuk menyediakan keperluan LPG di sekitar kawasan ini justeru kami mendorong setiap isi rumah, kedai runcit dan syarikat komersial di kawasan ini menggunakan silinder SOLAR GAS dalam aktiviti memasak harian dan lain-lain,” katanya di sini hari ini.
Sebahagian daripada usaha penjenamaan semula KUB Gaz, kumpulan itu mengumumkan imej baharu silinder LPG KUB Gaz, silinder berwarna emas dengan logo SOLAR GAS baharu yang lebih menyegarkan.
Inisiatif itu sememangnya memperkuatkan lagi komitmen KUB Gaz dalam memastikan silinder berkualiti tinggi dan selamat.
Aplikasi LP Gas Trading baru-baru ini dilancarkan di Google Play Store membolehkan para pelanggan membeli dan membayar silinder SOLAR GAS terus dari telefon pintar. – UTUSAN ONLINE











