KUALA LUMPUR 11 Julai – Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) yakin mampu meraih keputusan yang lebih baik bagi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), selepas dana itu berjaya mengekalkan dividen berterusan dalam jajaran 5.8 sehingga 7.5 peratus setahun bersih selepas ditolak zakat, sejak tahun lepas.
Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, walaupun pasaran hartanah Malaysia berhadapan dengan cabaran sejak beberapa tahun, namun, sejak kebelakangan ini, permintaan bagi unit AHB amat menggalakkan.
“Walaupun peratusan hartanah komersial yang dikuasai PHB dan AHB masih kecil berbanding dengan pasaran keseluruhan, saya boleh katakan dana tersebut telah berkembang menjadi satu model pelaburan yang agak positif setakat ini.
“AHB berpotensi untuk berkembang serta memberikan kesan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dana unit amanah patuh syariah pertama negara ini yang bersandarkan kepada aset hartanah telah membayar lebih kurang RM1.14 bilion dalam bentuk dividen kepada para pelabur Bumiputera sejak ditubuhkan.
Menurut Mahmud Fauzi lagi, sejak pelancaran skim AHB pada November 2010, PHB telah mencapai kemajuan yang berterusan dan kini memiliki lebih lapan juta kaki persegi aset hartanah komersil.
“Kami mempunyai sebanyak 22 bangunan di seluruh negara merangkumi bangunan-bangunan pejabat, hospital pakar, pusat membeli-belah dan gudang logistik.
“Setakat ini, jumlah aset kami bernilai kira-kira RM10.3 bilion,” katanya.
AHB merupakan dana amanah syariah berharga tetap yang bersandarkan kepada hartanah yang membolehkan pelabur Bumiputera terlibat dalam faedah pemilikan membabitkan aset hartanah dengan pelaburan minimum sebanyak RM100. – BERNAMA











