BANGI 11 Julai – Kegusaran ahli akademik mengenai kemungkinan Malaysia kekurangan bakat dalam penyelidikan sains mungkin sedikit terubat dengan pencapaian menyerlah sekumpulan pelajar daripada Pusat Genius@pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kumpulan pelajar terbabit yang diketuai oleh Loo Qiao Ning, 16, berjaya menghasilkan satu sistem pembersihan secara semula jadi menggunakan pokok keladi bunting dalam tempoh setahun penyelidikan.
Penyelidikan empat kumpulan bertajuk Merawat Air Buangan Rawatan Cara Semula jadi Menggunakan Sistem Fitoremediasi merupakan satu inisitif pelajar terbabit yang kecewa dengan kejadian pencemaran sungai yang menjadi isu hangat ketika ini.
Qiao Ning berkata, mereka menggunakan keladi bunting yang mempunyai bahan semula jadi untuk merawat logam berat yang menjadi punca utama pencemaran air di negara ini.
“Kami mendapat inspirasi menjalankan penyelidikan ini kerana masalah pencemaran sungai yang teruk dan pada masa yang sama, terdapat banyak keladi bunting di negara ini.
“Ada banyak cara untuk merawat air tetapi kami mengelak menggunakan bahan kimia, (sebaliknya) memilih menggunakan kaedah semula jadi yang tidak mencemarkan alam, ‘’ ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Persidangan Saintis Masa Depan Antarabangsa (IFSC) 2019 di Bangi yang berakhir hari ini.
Persidangan kali ke-9 itu yang bermula sejak Isnin lalu dihadiri 524 pelajar daripada 56 buah sekolah daripada dalam dan luar negara.
Selain Qiao Ning, kumpulan tersebut turut dianggotai oleh Nur Addina Amiruddin, Nurul Azrina Abdul Halim dan Kasyfil Ilhan Zakaria,
Dengan menggunakan sistem tersebut , proses pembersihan akan mengambil masa selama tiga minggu dan air dibersihkan menerusi penyerapan oleh akar pokok berkenaan.
“Kami menguji dengan menggunakan bahan pencemar berwarna bagi melihat keberkesanan kaedah ini, ‘‘ ujarnya .
Mengulas lebih lanjut beliau berkata, kajian tersebut akan diteruskan dengan penambahbiakan termasuklah menintegrasikan sistem tersebut dengan bakteria berguna untuk membersihkan air.
Kumpulannya mengucapkan terima kasih kepada pensyarah daripada Fakulti Alam Bina (FAB) UKM yang membimbing mereka.
Dalam pada itu, beliau berharap supaya golongan pelajar seperti mereka yang minat dalam bidang sains menggunakan penyelidikan bagi membantu menyelesaikan masalah masyarakat.
Penyelidikan tersebut menerima pelbagai anugerah antaranya termasuklah pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2019 dan World Young Inventors Exhibition pada Pameran Ciptaan Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2019 serta yang terbaharu pingat emas sempena persidangan tersebut.
“Kita perlu galakkan orang muda minat dalam bidang sains fundamental dan ia boleh dicapai sekiranya ada rasa ingin tahu yang terlalu kuat terhadap sesuatu, ‘’ ujarnya.











