SEMPORNA 11 Julai – Tujuh bot pam dirampas, manakala 10 lelaki yang didapati tiada dokumen pengenalan diri ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Perikanan dan Pasukan Polis Marin (PPM) di sekitar perairan, di sini semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi itu menyaksikan pihaknya membuat pemeriksaan mengejut ke atas bot-bot kampung yang beroperasi menggunakan enjin pam yang menaikkan hasil laut, selain memeriksa dokumen pengenalan diri, permit serta lesen mereka yang terlibat.
“Hasil operasi kita dapati tiga perahu beroperasi menggunakan enjin bot yang tidak berdaftar manakala empat bot lagi dikendalikan juragan asing.
“Semua tangkapan serta rampasan di bawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, PPM bersama Jabatan Perikanan turut memeriksa premis penjualan ikan di pasar basah bagi memastikan tiada pihak menjual ikan yang diperoleh melalui aktiviti bom ikan. – BERNAMA











