Ibu maafkan anak walau curi wang simpanan - Utusan Malaysia

Ibu maafkan anak walau curi wang simpanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG 11 Julai – Sudah memaafkan si anak meskipun terluka kerana tertuduh tergamak mencuri wang simpanan berjumlah RM1,480 dalam akaun bank miliknya.

Malah, wanita tersebut turut merayu mahkamah mengurangkan hukuman ke atas tertuduh.

Demikian tindakan murni seorang ibu ketika diberi peluang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk bersuara sebelum anaknya itu didenda RM9,000 selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan mengeluarkan wang simpanan tanpa kebenaran milik wanita tersebut, sekitar Mei lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majistret Amal Razim Alias turut mengarahkan tertuduh, Sharil Fazrullah Shaib, 24, menjalani hukuman penjara selama 11 bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda tersebut.

Mengikut empat pertuduhan terbabit, tertuduh didakwa melakukan empat capaian tanpa kuasa dengan menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Simpanan Nasional (BSN) mengeluarkan wang milik ibunya dengan jumlah keseluruhan RM1,480.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 11 hingga 17 Mei lalu di mesin ATM BSN di sini.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dijalankan Pegawai Pendakwa, Khairunnisa Affandi manakala tertuduh tidak diwakili peguam

Terdahulu, ketika diberi peluang untuk bersuara, wanita itu merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan hukuman terhadap tertuduh dengan alasan dia mempunyai seorang anak yang masih kecil.

“Saya sudah memaafkan dia dan berharap hukuman dapat dikurangkan. Jika mampu, saya sanggup membayar denda yang dikenakan bagi membebaskan dia,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, Amal Razim menasihati tertuduh supaya membayar balik wang jumlah denda RM9,000 jika ibunya membantu dia menjelaskan denda tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini