Empat cadangan untuk Akta 668 - Utusan Malaysia

Empat cadangan untuk Akta 668

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 11 Julai – Kerajaan Pas Kelantan mencadangkan empat perkara yang perlu dipertimbangkan Kerajaan Persekutuan berhubung keputusan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, walaupun kerajaan Pas Kelantan menghormati keputusan tersebut namun, pihaknya memandang serius impak perubahan akibat pentakrifan semula umur Belia Malaysia tersebut.

“Pertama, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan proses peralihan kepemimpinan dan pertubuhan belia perlu diberikan tempoh sewajarnya dan tempoh yang dirasakan sesuai ialah empat tahun selepas tahun akta dipinda iaitu 2023.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini bertujuan memastikan proses peralihan barisan kepemimpinan yang melebihi umur 30 tahun berlaku dengan lancar tanpa ada sebarang isu yang mendatangkan masalah kepada pertubuhan belia tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis Sukan Negeri (MSN), Jalan Telipot, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah MSN negeri, Muhammad Imran Mansoor.

RUU yang dibawa oleh Kementerian Belia dan Sukan itu telah meminda takrif ‘belia’ dan ‘pertubuhan belia’ untuk menurunkan had umur maksimum belia dan anggota pertubuhan belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU itu diluluskan selepas 17 ahli Parlimen berbahas mengenai pindaan tersebut.

Dalam pada itu, Wan Roslan berkata, pihaknya juga ingin mencadangkan agar kementerian memasukkan secara rasmi perkara berkaitan penubuhan Majlis Konsultasi di setiap Pertubuhan Belia ke dalam Akta 668.

“Ini bagi memastikan pemimpin belia yang telah mencapai umur 30 hingga 40 tahun diberikan ruang untuk berfungsi sebagai penasihat dan pembimbing.

“Ketiga, kerajaan perlu memberi jaminan bahawa segala kemudahan seperti insentif Perumahan, Keusahawanan, Pertanian, Pendidikan dan sebagainya yang selama ini turut diberikan kepada rakyat yang berumur 30 hingga 40 tahun akan diteruskan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu meneruskan dan meningkatkan lagi geran pentadbiran kepada Pertubuhan Belia terutama Majlis Belia untuk program pembangunan belia.

“Kerajaan Negeri Kelantan juga beriltizam untuk terus berusaha mengangkat martabat belia Kelantan secara konsisten

“Malah telah melaksanakan program-program di bawah Agenda Generasi Sejahtera (Gentera) yang menyasarkan golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun sejak tahun 2017,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini