KUALA LUMPUR 11 Julai – Pas tidak mahu mencampuri urusan dalam Barisan Nasional (BN) sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada agenda penyatuan kedua-dua parti itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh kedua-dua parti walaupun kedua-duanya menjalinkan kerjasama secara politik.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.
“Apabila kita mengadakan penyatuan ummah, kita tak sentuh urusan dalaman parti masing-masing. Sama ada dia nak melantik siapa sahaja dalam parti mereka, itu tidak kita tak hirau.
“Apa yang kita tumpukan adalah agenda penyatuan ummah. Ini tanpa mengambil tahu masalah dalaman parti, itu masing-masing,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











