KUALA LUMPUR 11 Julai – Pelaksanaan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) disifatkan sebagai titik tolak bagi memastikan usahawan mempunyai platform mengukuhkan perniagaan.
Berbeza dengan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang sering dianggap membantu sesuatu golongan sahaja, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berpendapat DKN 2030 bersifat menyeluruh membantu semua rakyat Malaysia dalam usaha mencapai ‘Kemakmuran Bersama’ yang diimpikan kerajaan.
Bukan itu sahaja, Rahim menganggap pengenalan polisi keusahawanan baharu itu juga mampu memberi peluang kepada golongan muda melebarkan sayap perniagaan sekali gus menjadi asas pembinaan negara usahawan menjelang 2030.
“Keusahawanan memerlukan platform atau spektrum lebih luas, bukan setakat di daerah, negeri atau dalam negara sahaja. Usahawan memerlukan pentas dunia bagi merealisasikan kejayaan.
Video oleh Afiq Mohd. Shah
“Saya melihat dasar baharu ini merupakan langkah yang baik sebagai kesinambungan kepada DEB tetapi lebih menyeluruh dan memberi faedah kepada semua tidak kira bumiputera atau bukan bumiputera,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran DKN 2030 di sini hari ini.
DKN 2030 yang merupakan dasar pertaa yang digubal secara komprehensif dan terkhusus dalam bidang keusahawanan itu dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof. – UTUSAN ONLINE











