KUALA LUMPUR 11 Julai – Bekas Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh syarikat SRC International Sdn. Bhd. terhadap wang pinjaman RM4 bilion yang diperolehi daripada organisasi terbabit.
Sehubungan itu, ia tidak boleh disamakan dengan projek penginapan yang dilaksanakan bagi Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) dan projek lebuh raya UEM walaupun diluluskan sebelum proses kertas kerja.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim bertanyakan perkara itu bagi membalas soalan dari peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap saksi mengenai penganjuran kedua-dua projek itu walaupun dokumentasi belum disiapkan.
Ketika pemeriksaan balas, Muhammad Shafee telah membangkitkan isu berhubung projek penginapan LIMA dan projek Lebuhraya Utara-Selatan UEM yang mendapat perhatian Perdana Menteri terdahulu untuk disegerakan dan kertas kerja bagi kedua-dua projek itu hanya siap selepas projek dimulakan.
Apabila Suhaimi bertanya mengenai kewujudan kedua-dua projek itu, Wan Abdul Aziz mengakui ia wujud.
Suhaimi: Bagi SRC pula, bila pembiayaan dikeluarkan, sehingga sekarang ada atau tidak kita nampak apa yang dilakukan dengan wang yang dipinjam?
Wan Abdul Aziz: Tidak.
Wan Abdul Aziz yang merupakan saksi pendakwaan ke-45 berkata demikian dalam perbicaraan hari ke-36 melibatkan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Dalam pemerikaaan semula itu, saksi turut ditanya mengenai pertemuannya dengan Ahli Parlimen Pekan itu dan adakah Najib telah memberi bayangan mengenai rancangan dan masa depan SRC International.
Bagaimanapun, beliau berkata, Najib hanya memberitahu syarikat itu memerlukan pembiayaan segera dan pengeluaran dana lebih awal.
“SRC perlu dapatkan pembiayaan secepat mungkin, kabinet sudah bersetuju untuk berikan Jaminan Kerajaan dan hanya menunggu prosedur untuk ditandatangani,” katanya lagi.
Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali turut bertanyakan sama ada Najib ada memberitahunya perkara lain mengenai SRC International selain mempercepatkan pengeluaran wang pinjaman lebih awal sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan, namu saksi hanya menjawab “tiada”.
Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nazlan diteruskan dengan mendengar keterangan daripada Penganalisa Bank Negara Malaysia (BNM), Suzairizman Shuib. – UTUSAN ONLINE.











