KUALA LUMPUR 11 Julai – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan tindakan sekumpulan aktivis yang didakwa berhimpun di hadapan penjara Kajang bagi menuntut pembebasan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin semalam adalah biadab.
Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, tindakan mereka dilihat seolah menghina keputusan Mahkamah dan Institusi Raja-Raja Melayu kerana menyokong tindakan yang dilakukan Wan Ji.
Ujarnya, kumpulan tersebut juga didakwa turut mengeluarkan kata-kata hasutan apabila mendesak kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.
“Saya percaya bahawa gerakan aktivis ini adalah satu gerakan subversif yang terancang bagi menjayakan rancangan Wan Ji untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu.
“Sehubungan itu, dua laporan polis telah dibuat hari ini bagi pihak polis menjalankan siasatan ke atas perlakuan-perlakuan jenayah yang telah dilakukan oleh kumpulan aktivitis tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











