Pokok durian mempunyai dua musim yang utama dalam setahun iaitu pada bulan Jun hingga Ogos bagi musim pertama dan pada musim berikutnya pada bulan November hingga Januari. Durian juga tergolong dalam famili Bombacaceae dan nama saintifiknya ialah Durio zibethinus murr.
Dalam kalangan penggemar buah-buahan tempatan, buah durian dikenali sebagai Raja Buah disebabkan ia mempunyai rasa yang pelbagai dan unik serta bau yang kuat. Klon buah Durian yang amat popular dan digemari pada masa kini ialah seperti klon D2, D7, D24, D99, D101, D168, D175, dan D197. MDUR dan musang king
Pokok durian mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman mata tunas dan baji. Ianya dibiak dengan menggunakan pokok penanti dan matatunas pokok baka yang terpilih. Selepas cantuman, pokok yang telah berjaya dicantum boleh ditanam diladang apabila mencapai umur 12 bulan ke atas. Setiap klon buah durian yang dicantum mempunyai rasa dan kualiti buah yang bermutu tinggi serta berlainan grednya.
TIP PENJAGAAN
Perkara yang amat penting selepas menanam anak pokok Durian ialah penjagaan, yang bermula dari awal pertumbuhan hingga mengeluarkan hasil produktif. Tip penjagaan pokok Durian adalah seperti berikut.:
Bagi anak pokok yang baru ditanam dikebun, digalakkan menggunakan bakul buluh atau pelepah sawit untuk mendapatkan teduhan sementara dan mengawal kelembapan pada pokok.
Selain itu, penggunaan sabut kelapa yang di letakkan di bawah pokok dapat membantu mengawal suhu tanah dan memberikan kelembapan pada tanah.
Cuaca yang panas boleh mengakibatkan pokok menjadi layu dan kekurangan air. Oleh itu, kerja penyiraman hendaklah dilakukan pada awal pagi dan lewat petang, sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Jika anak pokok ditanam jauh dari rumah, penggunaan botol air besar dimana bahagian bawahnya dipotong manakala bahagian penutup ditebuk dengan dua lubang kecil. Apabila hujan turun, air akan bertakung didalam botol dan disalurkan secara perlahan-lahan.
Penggunaan racun rumpai di kawasan pokok yang berumur kurang dua tahun memang tidak digalakkan kerana memberikan kesan pada akar pokok. Rumpai boleh dikawal dengan menggunakan cangkul di sekeliling anak pokok.
Dikawasan pokok durian matang pula, rumpai hanya boleh dikawal dengan menggunakan cara memotong rumput atau menebas. Ia tidak merosakkan sistem akar pokok dan mengawal suhu serta kelembapan tanah.
Pokok Durian memerlukan baja tumbesaran ( NPK Hijau ) pada peringkat awal penanaman dan baja pembuahan ( NPK Biru ) pada peringkat selepas matang. Pembajaan dilakukan dengan menggunakan kaedah tabur terus di keliling kanopi dan dikambus dengan tanah. Elakkan membaja pada pangkal pokok.
Jangan tabur baja apabila pokok sedang mengeluarkan bunga. Ianya akan menyebabkan bunga menjadi kering dan gugur.
Penggunaan baja organik (tahi ayam ) adalah digalakkan untuk menambahkan keupayaan pokok menghasilkan buah durian yang besar, tebal, bermutu tinggi dan berkualiti selain dari penggunaan baja kimia.
Seeloknya pokok di bentuk pada peringkat awal dengan menggunakan sistem batang utama ( Central leader ). Pastikan pokok durian dibentuk dengan satu batang sahaja dan dahan dikiri dan kanan yang mendatar. Tujuannya untuk mengeluarkan dahan pembuahan dan mempercepatkan pokok matang.
Potong tunas air yang tumbuh menegak, dahan yang mati, ranting yang tidak diproduktif serta bersilang pada dahan pembuahan.
Bentuk dahan pembuahan yang bersudut kecil dengan dahan diikat menggunakan tali dan ditarik sehingga dahan mendatar, dan hujung tali diikat pada besi yang melengkung dan dipacak pada tanah. Dahan yang mendatar boleh mengeluarkan buah yang banyak.
Potong dahan atau ranting yang berpenyakit supaya tidak berjangkit dengan ranting yang lain.
Buat kawalan penyakit dengan segera apabila terdapat daun muda atau daun pucuk yang gugur bagi menggelakkan pokok mati. Serangan tersebut dikenali sebagai hawar daun yang mana mudah menyerang pada musim hujan.
Penyakit kanker batang perlu dirawat dengan menggunakan racun kulat spesifik yang dibancuh dengan air dan disapu pada bahagian batang yang diserang. Bahagian yang diserang perlu dikikis dan disapu dengan kekerapan dua kali sebulan.
Pokok durian yang terkena dengan serangan kanker batang pada tahap yang kritikal, tindakan yang segera perlu diambil ialah dengan musnahkan pokok bagi mengelakkannya dari berjangkit ke pokok yang berdekatan.
Apabila musim buah luruh, pastikan buah yang rosak juga dikutip supaya tidak menjadi habitat pembiakan serangga.
Buah durian yang rosak perlu ditanam untuk elak dari penyakit kulat.
Selepas habis musim buah, pokok perlu di baja dengan menggunakan baja organik ( tahi ayam ) dan baja buah ( NPK Biru ) untuk mengantikan serta membekalkan za-zat makanan pada pokok secara berkala.











