Ditahan selepas samun guru wanita - Utusan Malaysia

Ditahan selepas samun guru wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 11 Julai – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun, tidak sampai dua jam selepas dia melarikan beg tangan milik seorang guru wanita di sebuah pusat beli-belah di Jalan Panglima Awang di sini petang semalam.

Suspek yang berusia 25 tahun ditahan kira-kira pukul 5 petang di sebuah rumah di Batu Berendam apabila nombor pendaftaran kereta jenis Perodua Axia yang dinaikinya selepas melakukan jenayah itu dicam oleh seorang saksi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, sebelum itu, suspek berkenaan dipercayai menyamun dan mencederakan seorang guru wanita ketika mangsa berada di tempat letak kereta di pusat beli-belah itu.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, suspek dipercayai menyerang mangsa mengguna sebilah pisau ketika wanita berusia 30 tahun itu sedang menyusun barang di dalam bonet keretanya.

“Selepas merampas beg tangan mangsa, suspek melarikan diri menaiki kereta jenis Perodua Axia dan seorang saksi wanita yang menyaksikan kejadian itu berjaya mengecam nombor pendaftaran kenderaannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Afzanizar, polis yang membuat semakan kemudian mengesan pemilik kereta itu serta menahan suspek tidak lama kemudian.

Katanya, ketika ditahan polis turut menemukan beg tangan mangsa bersama barangan peribadinya termasuk telefon bimbit, beg duit, dokumen pengenalan diri dan kad bank serta wang tunai kira-kira RM450.

Tambah beliau, kejadian itu turut menyebabkan mangsa yang cuba menarik beg tangannya mengalami kecederaan luka di jari kanan dan lengan sebelah kiri dan dibawa ke Hospital Melaka dengan menaiki ambulans.

Afzanizar berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini