MELAKA – Geng Surya yang aktif melakukan kegiatan samun barang kemas majlis perkahwinan masyarakat India membabitkan nilai kerugian hampir RM1 juta berjaya ditumpaskan oleh pasukan polis dalam Op Bridal pada Isnin lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superitendan Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, penangkapan bersiri kesemua lapan lelaki berusia 24 hingga 54 tahun itu berjaya menyelesaikan 30 kes pecah rumah membabitkan barang kemas milik pengantin baharu.
Beliau berkata, dalang utama seorang pemandu lori berusia 38 tahun yang dikenali sebagai Surya berjaya dicekup di sekitar Ayer Keroh kira-kira pukul 4.30 petang pada Isnin lalu.
“Hasil soal siasat lelaki tersebut membawa kepada tujuh penangkapan bersiri ahli geng lain di sekitar Melaka termasuk seorang tukang emas berusia 54 tahun yang pakar untuk melebur dan membentuk rekaan baru bagi tujuan gadai atau jual semula.
“Kita percaya geng ini telah aktif melakukan pecah rumah pengantin baharu sejak enam bulan lalu dengan menggunakan bantuan daripada penduduk tempatan untuk mengenal pasti rumah mangsa,” katanya pada sidang akhbar Op Bridal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, hasil rakaman percakapan, geng tersebut turut mengakui terlibat dalam 26 kes pecah rumah pengantin di sekitar Melaka, manakala empat kes di Negeri Sembilan.
“Dalam Op Bridal ini, polis turut merampas tiga patung emas, pelbagai barang kemas dari kedai emas dan pajak gadai, telefon bimbit, lima buah televisyen, komputer riba, surat pajak gadai, jam tangan dan peralatan pecah rumah serta lebur emas.
“Kesemua kerugian barang yang dilaporkan membabitkan kes-kes ini adalah kira-kira RM900,000,” katanya.
Katanya, ketua dan seorang daripada ahli geng itu juga dikesan mempunyai rekod lampau jenayah membabitkan kes curi dan pecah rumah.
Jelasnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat lagi individu lain yang terlibat dalam kegiatan geng tersebut.
Jelasnya, kesemua ahli Geng Surya itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda. – K! ONLINE











