KANGAR – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah masjid di Perlis mesti bebas daripada politik sebaliknya kekal sebagai medan untuk memupuk perpaduan dan menyemai kasih sayang berlandaskan prinsip ukhuwah Islamiyyah.
Sehubungan itu baginda mahu masjid-masjid dalam negeri Perlis ditabir dan diimarahkan tanpa melibatkan kepentingan parti dan sentimen politik.
“Landskap politik boleh berubah. Parti dan kerajaan peringkat negeri dan persekutuan juga boleh bertukar namun masjid-masjid hendaklah kekal dengan peranannya menyatukan umat Islam,” titah Tuanku Syed Sirajuddin.
Baginda bertitah merasmikan Mulaqa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Tahun 2019 bersempena sambutan keputeraan baginda ke-76 di Dewan Warisan di sini hari ini.
Teks titah baginda dibacakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. – Bernama











