SILVERSTONE, United Kingdom 11 Julai – Selepas hanya menduduki tempat kelima di Grand Prix (GP) Austria dua minggu lalu, pelumba Mercedes, Lewis Hamilton mensasarkan untuk bangkit di negara sendiri apabila GP British berlangsung hujung minggu ini.
Sebagai rekod, Hamilton bakal merangkul kejuaraan keenam di Litar Silverstone itu jika dia mampu menyinar dalam perlumbaan di depan penyokong sendiri itu sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu keseluruhan buat masa ini.
Ketika ini juara dunia 2018 itu sudah mengumpul 197 mata diikuti rakan sepasukan, Valtteri Bottas, 166, pelumba Red Bull, Max Verstappen, 126, dan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel, 123, selepas berakhir 10 perlumbaan tahun ini.
“Inilah perlumbaan yang amat saya nantikan musim ini di mana ia sentiasa menjadi minggu yang menyeronokkan setiap kali berlumba di sini,” katanya yang turut gembira meraikan berita terbaru tentang penyambungan kontrak Litar Silverstone sebagai venue GP British untuk tempoh lima tahun akan datang sehingga 2024.
Jika muncul juara hujung minggu ini, Hamilton berjaya memintas rekod yang dipegang dua pelumba legenda, Jim Clark dan Alain Frost yang pernah menang lima kali di litar sama.
Bagaimanapun Hamilton dan Mercedes perlu memastikan terlebih dahulu jentera mereka mampu menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di Silverstone selepas prestasi mengecewakan di Austria tempoh hari.
“Suhu yang tinggi di Austria mendedahkan kelemahan jentera kami yang jelas tidak dapat memberikan saingan bermakna untuk muncul juara. Tetapi dengan perubahan kepada cuaca sejuk di sini, ia dijangka bukan isu besar buat kami,” kata ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff. – AFP











