KUALA LUMPUR 11 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menerima usul atau surat rasmi mengenai pembubaran Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya sudah meneliti dengan cermat mengenai perkara ini.
Beliau malah memberitahu, kementerian juga tidak perlu merubah struktur sedia ada dalam PPN.
“Saya meneliti dengan cermat ayat-ayat yang Ahli Parlimen Rembau kemukakan setakat ini. Setakat pukul 10.16 pagi, kementerian tidak menerima apa-apa usul dokumen rasmi atau surat PPN dibubarkan.
“Oleh itu, saya tidak perlu merubah struktur sedia ada dan usul itu (PPN bubar) tidak relevan,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang bertanyakan mengenai usul PPN dibubarkan dan langkah-langkah intervensi kementerian berhubung isu berkenaan. – UTUSAN ONLINE











