Pertembungan Federer, Nadal ibarat perlawanan epik - Utusan Malaysia

Pertembungan Federer, Nadal ibarat perlawanan epik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON- Roger Federer dan Rafael Nadal yang kali terakhir bertemu di pentas Wimbledon 11 tahun lalu, kembali membuat penghitungan di separuh akhir kejohanan itu, esok.

Kali terakhir kedua-dua bekas pemain nombor satu dunia itu bertembung pada 2008, dianggap perlawanan epik Grand Slam yang pernah berlangsung.

Juara lapan kali, Federer merekodkan kemenangan ke-100 di Wimbledon dan mara ke separuh akhir kali ke-13 selepas menewaskan pemain Jepun, Kei Nishikori 4-6, 6-1, 6-4, 6-4.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemain berusia 37 tahun itu juga berpeluang menempah perlawanan akhir kali ke-45 dalam kejohanan major sepanjang karier.

Dalam pada itu, Nadal, selaku juara dua kali Wimbledon, mara ke separuh akhir buat kali ketujuh dan ke-32 Grand Slam selepas menewaskan Sam Querrey 7-5, 6-2, 6-2.

Pertembungan esok menyaksikan mereka berentap kali ke-40 dan kali ketiga di Wimbledon selepas Federer menang pada final 2006 dan 2007 sebelum Nadal merampas gelaran pada 2008.

“Kami ada banyak maklumat mengenai Rafa begitu juga dengan dia. Saya tahu orang ramai menjangkakan sesuatu yang besar.

“Dia melakukannya di Paris tahun ini (Nadal menang). Saya suka dapat berentap dengan dia di Wimbledon. Saya akan hadapinya sama seperti di kejohanan lain,” kata Federer.

Bintang Switzerland itu, muncul pemain tertua beraksi di separuh akhir menyamai pencapaian Jimmy Connors di Terbuka Amerika Syarikat pada 1991.

“Ia pasti hebat (dapat berentap dengannya sekali lagi). Sukar menggambarkan situasi yang akan terjadi di sini, saya teruja dapat berentap dengan Roger sekali lagi di Wimbledon selepas sekian lama,” kata Nadal.

Satu lagi saingan separuh akhir mempertemukan juara empat kali yang juga pilihan pertama, Novak Djokovic berdepan pemain Sepanyol, Roberto Baustista Agut, yang buat pertama kali mara ke separuh akhir.

Djokovic pula mara ke separuh akhir buat kali kesembilan dengan mencipta kemenangan ke-70 menewaskan pilihan ke-21 dari Belgium, David Goffin 6-4, 6-0, 6-2.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini