KUALA LUMPUR – Seramai 60 golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima sumbangan rumah pemilikan sendiri dalam Majlis Penyerahan Baiti Jannati Wilayah Persekutuan semalam.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, tujuan utama program tersebut adalah untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup golongan tersebut dengan memiliki kediaman sendiri yang selesa.
“Hak milik rumah di bawah program ini akan dipindahkan kepada penerima yang terpilih dalam kalangan penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia ada tanpa sebarang bayaran, dengan syarat unit berkenaan tidak boleh dijual semula kepada pihak ketiga tetapi boleh diwariskan kepada anak atau waris terdekat.
“Bagi tahun ini, kita turut menyasarkan 90 unit rumah kepada mereka yang terpilih, termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya,” katanya pada sidang akhbar di Pantai Eco Park di sini semalam.
Turut hadir bersama ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai; Ahmad Fahmi Fadzil, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL; Datuk Ibrahim Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan; Zaizalnizam Zainun.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Korporat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Wira Roslan Ab. Rahman berkata, projek tanggungjawab sosial korporat pihaknya bersama Kementerian Wilayah Persekutuan itu menelan kos keseluruhan sebanyak RM3.1 juta menggunakan peruntukan agihan semula wang zakat perniagaan TNB.
“TNB membeli rumah yang diduduki asnaf terpilih daripada DBKL dan seterusnya membaik pulih rumah tersebut dengan kos sebanyak RM50,000 seunit sebelum diserahkan kepada semua penerima yang layak.
“Proses pemilihan penerima berdasarkan kelayakan dinilai oleh jawatankuasa khas yang dianggotai oleh wakil dari TNB, DBKL, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” tambahnya.
Bagi peringkat Wilayah Persekutuan, program Baiti Jannati TNB telah bermula sejak 2014 dan berdasarkan rekod sehingga 2018, seramai 109 keluarga telah mendapat manfaat dengan nilai berjumlah lebih RM5.02 juta. – K! ONLINE











