KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu golongan belia tempatan memantapkan jati diri dan sikap bagi membantu mereka menepati ciri-ciri pekerja yang dicari majikan seperti komited, rajin, berdaya tahan dan boleh kerja berpasukan.
Menurut Perdana Menteri, ciri-ciri lain yang perlu ada dalam diri mereka ialah berkeinginan untuk belajar, kebolehan bekerja di bawah tekanan serta bersikap proaktif.
Beliau menyentuh perkara itu ketika menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Dewan Rakyat hari ini mengenai usaha mengurangkan kadar pengangguran belia dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
Katanya, berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia, pengangguran belia dicatatkan pada kadar 10.9 peratus pada 2018.
“Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada pengangguran belia di Malaysia ialah ketidakcukupan kemahiran atau pendidikan, kekurangan pengalaman bekerja dan ketidakpadanan kemahiran,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. – Bernama











