SAUDARA PENGARANG,
KITA dikejutkan dengan tragedi seorang murid tahun enam di sebuah sekolah rendah di Machang, Kelantan yang meninggal dunia selepas terpijak lantai bas reput dan terjatuh di atas jalan ketika mahu menghadiri bengkel bahasa Inggeris.
Pihak sekolah seringkali membawa murid menghadiri seminar dan bengkel di luar daerah sama ada menggunakan kereta guru atau bas.
Penulis bukanlah hendak menuding jari kepada sesiapa tetapi tragedi yang berlaku kelihatan akibat sikap lepas tangan dan seperti peribahasa, sudah terhantuk baru tengadah.
Amat mengejutkan apabila difahamkan rombongan murid itu tiada guru pengiring. Tragedi melibatkan murid boleh berlaku di mana-mana.
Pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hendaklah membuat pemeriksaan mengejut terhadap bas-bas sekolah.
Kenderaan digunakan pengusaha bas sekolah hendaklah betul-betul dalam keadaan baik dan menepati peraturan pengangkutan awam.
Peronda JPJ juga hendaklah memantau pergerakan bas sekolah. Seringkali kelihatan murid bergayut di tangga bas, mengeluarkan tangan dan kepala pada tingkap bas.
Keadaan bas usang, berdebu, kerusi tercabut dan terkoyak selain keadaan tingkap yang tidak boleh dibuka serta penyaman udara rosak menyebabkan murid tidak selesa.
Sudah tentu keadaan bas berkenaan tidak setimpal dengan yuran bulanan yang dibayar oleh ibu bapa.
Pemandu bas yang tidak mempunyai konduktor atau pemandu kedua juga amat sukar untuk menjaga murid yang ramai dalam memastikan keselamatan mereka semasa bergerak atau ketika menurunkan penumpang.
Sudah tentulah sikap sambil lewa dan lepas tangan ini boleh mengundang kepada kemalangan.
Pengusaha bas sekolah wajar memikirkan kembali tuntutan kenaikan tambang jika perkhidmatan yang ditawarkan sekadar melepaskan batuk di tangga.
BAS EKSPRES
Temerloh











